Thursday, May 8, 2008

Tulisan Terakhir Rustam : Mahathir Yang Celupar


Oleh Rustam A SaniSelasa, 22 April 2008
SAYA benar-benar kagum akan Mahathir, khususnya terhadap kemampuan dan kedegilannya untuk menyatakan pandangannya.
Dia akan terus berkata-kata, meskipun sudah tidak ada lagi orang yang mau mendengar pandangannya itu – kecuali mungkin beberapa orang yang mau memperalatkannya sebagai sumber "pendapat" bagi maksud tertentu – untuk menyerang Abdullah Badawi, misalnya.
Dan bagi tahap umurnya, tenaga Mahathir memang luar biasa. Suaranya masih lantang, sebutannya masih jelas – meskipun daya ingatannya ternyata sudah kabur (banyak yang tidak diingatnya atau sudah tersalah ingat), daya analisisnya sudah longgar, rasa hormatnya terhadap lojika, etika, maupun kebenaran jelas sudah berkecai.
Namun, bagi saya, apa yang lebih menakjubkan ialah masih banyak antara kita yang masih sanggup mendengar racauannya itu. Oleh itu, bila Mahathir akan diwawancara untuk rancangan "Hard Talk" baru-baru ini saya menjadi kebanjiran dengan pesanan SMS maupun posting blog tentangnya.
Memanglah Mahathir merupakan seorang yang degil, yang tidak puas-puas meracau di mana sahaja. Dia akan berceramah di majlis ceramah anjuran PROWARIS atau bahagian-bahagian Umno yang tertentu, berdebat dalam forum anjuran laman blog MyKMU, ditemuramah oleh Malaysiakini.com, malah menulis kata pengantar untuk buku Dr. Collin Abraham.
Tidak ada sesuatu yang baru dalam apa yang diperkatakannya, namun orang tetap akan mendengar malah melaporkannya kembali di tempat lain, di muka akhbar maupun di laman blog. Tidak ada yang mendalam atau profound dalam analisisnya, namun masih banyak yang menganggap kata-katanya sebagai semacam mutiara ilmu.
Dan inilah yang menakjubkan saya. Apakah yang menarik tentang Mahathir ini: mutiara ilmu yang keluar dari mulutnya atau sekadar personanya? Dan apakah yang menarik tentang persona itu – auranya atau sekadar latarbelakang dirinya yang pernah menjadi ahli politik yang memberontak terhadap establishment Umno tetapi kemudiannya bertukar menjadi establishment itu sendiri yang amat menindas?
Baru-baru ini Mahathir tampaknya telah berhasil pula menjaja misteri dirinya itu ke luar negara. Dia sanggup ditemuramah di ruangan "Hard Talk" BBC yang terkenal kerana soalan-soalan mendalam lagi kasar terhadap sesiapa sahaja – khususnya para pemimpin negara dunia ketiga.
Mahathir memang tahu tentang reputasi rancangan Hard Talk itu, namun naluri dan semangatnya untuk terus berkata-kata itu ternyata tidak akan dapat diredakan. Otot di sekeliling mulutnya yang overdeveloped itu tampaknya tidak akan dapat dilemahkan.Satu sifat dan sahsiah Mahathir yang asasi sehubungan dengan nalurinya yang mau terus berkata-kata ini ialah sifatnya yang combative – yakni dia akan menyerang bila dia mendapati dirinya terdesak oleh serangan orang lain khusus pihak yang mempersoalkan kredibiliti hujah dan kata-katanya.
Dan apabila Mahathir mulai menyerang, dia akan melakukannya secara dogged (hantam keromo, membujur lalu melintang patah). Bila Mahathir menyerang, maka jelaslah terserlah sifatnya yang samasekali tidak menghormati dan mengendahkan kebenaran, fakta, logika atau malah urutan dan tertib hujah yang siuman.
Saya telah melihat perkara ini berlaku beberapa kali sewaktu Mahathir diwawancara oleh media antarabangsa (Mahathir dalam nada prasangkanya sendiri akan mengatakannya "media barat").Beberapa tahun lalu, sewaktu Mahathir ditemuramah oleh Zain Verge dari CNN, bila dia didesak dengan soalan-soalan yang hangat dan pedas, dia akan segera menjadi combative – menuduh sipenemuramah itu sebagai mewakili prasangka "orang putih" yang senantiasa memandang rendah terhadap orang kulit berwarna seperti dirinya.
Hakikat yang tidak diendahkan Mahathir ialah hakikat Zain Verge merupakan seorang wanita keturunan Pakistan yang dibesarkan di Afrika – hanya kulitnya sedikit cerah berbanding Mahathir.
Kali ini sewaktu menghadapi asakan soalan-soalan panas dari Stephen Sackur, hos rancangan Hard Talk ini, huraian Mahathir tentang prasangka orang Barat terhadap orang pribumi kita tampaknya diasaskan pada ikhtisar pandangan beberapa tokoh pegawai penjajah British satu dua abad lalu seperti Swettenham, Winstedt.
Pandangan berprasangka seperti itu sebenarnya sudah tidak kedengaran lagi hari ini, dan malah hujah seperti yang dikemukakan oleh Mahathir itu juga sejak lama sudah tidak digunakan lagi oleh para pembahas dan sarjana anak negeri. Namun demikianlah adanya vintage Mahathir: dia tidak teragak-agak menggunakan hujah dan mauduk dari dua abad lalu untuk memenangi perdebatan hari ini.
Mahathir agak beruntung bila berhadapan dengan para wartawan seperti Zain Verge dan Sackur itu. Mereka ini sebenarnya tidak begitu tahu tentang realiti politik di Malaysia, oleh itu tidak dapat terus bertanya (probing) bila Mahathir memberikan reaksi yang sebenarnya tidaklah seratus peratus tepat.
Huraiannya, misalnya, tentang penyingkiran para hakim, tentang pita V. K. Lingam, tentang keadilan yang diterima Anwar dari sistem kehakiman Malaysia sudah pasti akan mengundang asakan yang malah lebih kuat lagi dari seorang wartawan yang lebih tahu tentang Malaysia berbanding Zain maupun Sackur.
Namun Mahathir, bagi saya, tetap merupakan seorang watak awam yang bijak lagi licik. Dia pandai menggunakan segala macam helah dan permainan citra untuk mempertahankan dirinya dan mengelirukan para pendengarnya. Sebab itulah setiap gerak geri maupun kata-katanya akan menarik perhatian, meskipun tidak terdapat barang seurat ketulusan maupun kebijaksanaan dalam penampilan citra dan cendekianya itu.
Bilakah permainan penampilan dirinya yang penuh helah ini akan reda – demi menjaga kewarasan dan kesehatan minda (mental hygiene) masyarakat kita sendiri?

Amy Search : Dari Rockers Ke Pusat Tahfiz


KUALA LUMPUR, 6 Mei: Percaya atau tidak, penyanyi rock terkenal Amy Search, akan membuka sebuah maahad tahfiz bernilai RM3 juta di Johor tidak lama lagi?
Tetapi itulah yang sedang dirancangkan oleh Amy sekarang.
Bagi mempastikan ia menjadi kenyataan, Amy telah memberikan penerangan secara sepintas lalu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkunjung ke kedai makannya, Restoran makanan Cina Islam Cheng Ho di Wangsa Maju baru-baru ini.Amy menunjukkan kepada Nik Aziz model pelan pusat tahfiz yang beliau rancangkan itu."Mana masjidnya?" tanya Tok Guru Nik Aziz."Ini dia pelannya tok guru," kata Amy memberikan penerangan tentang reka bentuk pusat tahfiz yang bakal dibina melalui yayasan yang beliau tubuhkan itu.
Selepas melihatnya, Nik Aziz membacakan doa, moga-moga cita-cita penghijrahan Amy berjaya.Amy mula berubah selepas menunaikan umrah tahun lalu. Beliau ke sana selepas berjaya dalam samannya terhadap sebuah syarikat rakaman.
Selepas itu, perlahan-lahan Amy dilihat berubah dan pembukaan kedai makanan Cina Islam Cheng Ho antara titik penting perubahan Amy.
Sebelum ini, Amy berduet dengan kumpulan Rabbani merakamkan lagu ketuhanan.
Kini, perubahan lebih besar sedang dirancang Amy bersama isterinya yang merasakan cinta mereka berdua semakin mantap sepanjang di tanah suci walaupun sudah beranak dua ketika itu.

Sumber : Siasah

Monday, May 5, 2008

Pak Lah PM sepenggal - Dr M


Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu menjelaskan tentang dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau merupakan Perdana Menteri sepenggal sebelum digantikan oleh timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak. Dr Mahathir dalam kenyataannya selepas Barisan Nasional (BN) kalah di lima negeri dalam Pilihan Raya Umum ke 12, memberitahu ada 'perjanjian lisan' antara beliau dan Pak Lah hanya menjadi PM sepenggal sebelum jawatan tersebut diserahkan kepada Najib. Apakah benar dakwaan Dr Mahathir perlu diberikan penjelasan oleh Pak Lah agar tidak menghalang segala usaha beliau memulihkan keyakinan rakyat kepada BN seterusnya melakukan daya usaha merampas semula negeri-negeri dikuasai oleh pembangkang.

Sunday, May 4, 2008